Siasatan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati kebakaran di Mid Valley Megamall, hari ini dipercayai akibat minyak penyejuk kabel di dalam pencawang masuk utama Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terlampau panas.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Kuala Lumpur M Fatta M Amin berkata, minyak terbabit yang sukar untuk terbakar kerana ia boleh tahan sehingga suhu mencecah 137 darjah selsius, digunakan untuk menyejukkan kabel di dalam pencawang dan bukan untuk menjana kuasa elektrik.
Tetapi, dipercayai terdapat haba yang berlebihan daripada pencawang itu yang sekali gus sampai ke tahap terbakar,” katanya.
Menurutnya, terdapat empat pencawang utama TNB di bangunan Mid Valley, namun hanya satu yang terbakar manakala tiga lagi tidak terjejas.
Sementara itu, pusat beli belah tersebut juga akan ditutup sehingga satu tempoh yang belum ditetapkan.
Pengurusan pusat beli belah berkenaan dalam satu kenyataan berkata penutupan itu adalah sebagai langkah keselamatan membabitkan semua pihak sama ada pengunjung dan petugas di situ.
“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan ingin menegaskan keselamatan pengunjung dan tetamu tetap menjadi keutamaan kami,” kata kenyataan itu menerusi akaun Facebook pusat beli belah itu.
Difahamkan, bekalan elektrik di pusat beli belah terbabit juga sudah kembali pulih.
Terdahulu media melaporkan sebuah bilik pencawang TNB di bangunan pusat beli-belah Mid Valley City, terbakar kira-kira jam 10.30 pagi tadi. – JURNAL