PAS menyifatkan pihak yang mengecam penggunaan replika senjata dan kostum tentera Islam ketika perarakan program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2023 pada Jumaat lalu kerana terikut dengan Islamofobia.
Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, golongan terbabit juga sekali gus telah menggambarkan Islam itu sebagai agama yang menakutkan.
“Apa yang mereka takut sangat pada Islam ini? Seolah-seolah Islamofobia dengan pelbagai tuduhan, tohmahan, dan fitnah yang dilakukan.
“Orang Islam bawa pedang kayu pun takut, sedangkan musuh guna senjata nuklear yang memusnahkan, yang diharamkan oleh Islam tak apa pula?” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika hadir Majlis Apresiasi dan Makan Malam Pra Satu Dekad Khidmat Malaysia di Ampang pada malam Rabu yang turut dihadiri, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Malangnya ada orang yang terpengaruh seolah-olah Islam ini menakutkan. Kejayaan Islam bukan dengan senjata, tetapi adil, hikmah,” katanya.
Penggunaan barangan replika pedang dan kostum pakaian tentera Islam berkait perarakan pada program HIMPIT 2023 Jumaat lalu mencetuskan polemik di media sosial.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menyifatkan penganjuran perarakan bersama replika senjata dalam satu perhimpunan terbuka adalah tidak wajar dan mengundang keresahan awam.
Saifuddin menegaskan, pihaknya memandang serius perkara itu dan apabila tular di media sosial jelas ia menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Susulan itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, dilaporkan berkata, pihaknya merampas replika senjata yang dimaksudkan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan. – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN