Komposer dan penghibur legenda, Datuk M Nasir, 66, mengakui hatinya terbuka untuk menjadi Duta Kemanusiaan atau ‘Goodwill Ambassador’ Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) kerana prihatin dengan situasi yang melanda dunia ketika ini.
M Nasir juga selebriti pertama yang dilantik sebagai Duta Kemanusiaan Mercy Malaysia selepas 24 tahun penubuhannya.
M Nasir berkata, selaku Duta Kemanusiaan Mercy Malaysia selama tiga tahun, dia juga bersedia turun padang untuk menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.
“Selepas melihat keluarga saya dan merenung apa yang berlaku kepada dunia, ia membuka hati saya untuk menerima pelawaan Mercy Malaysia.
“Mercy Malaysia sememangnya sudah berkembang dan saya menyertai mereka ketika persatuan ini sudah berada pada tahap yang baik. Tanpa saya mereka juga boleh bergerak sendirii,” katanya ketika ditemui di majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Mercy Malaysia dan M Nasir yang berlangsung di Dataran Muzium Negara, di sini, hari ini.
Hadir sama, Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus.
Mengenai Mercy Malaysia lagi, kata M Nasir, dia sedang berbincang banyak perkara dengan persatuan itu untuk disalurkan kepada masyarakat.
“Mungkin saya boleh bantu dari sudut itu. Kalau dari segi duit, mungkin saya tidak boleh bagi, tapi kami boleh cari duit sama-sama nanti,” katanya.
Sementara itu, Mohd Faizal berkata, pelantikan M Nasir sebagai Duta Kemanusiaan Mercy Malaysia adalah usaha mempromosikan nilai-nilai serta amalan kemanusiaan secara lebih meluas kepada segenap lapisan masyarakat.
“Pihak kami amat berbesar hati kerana M Nasir yang juga tokoh seni tanah air menjadi duta Mercy Malaysia. Usaha dan penelitian untuk melantik M Nasir juga mengambil masa selama setahun.
“Selain itu, lantikan ini dibuat secara berhati-hati kerana sedar sekiranya tersalah pilih (duta), apa saja kontroversi yang timbul membabitkannya, mungkin memberi impak pada persatuan,” katanya.
Mengulas pemilihan M Nasir lagi, Ahmad Faizal berkata, perwatakan serta keperibadian dimiliki penyanyi itu mempunyai tarikan yang kuat.
Katanya, bukan sekadar ‘superstar’ dalam bidang muzik, wajahnya turut dikenali dalam bidang perfileman tanah air.
“Selain itu, sikap santai M Nasir di jalanan yang sangat rapat dengan masyarakat bukan hanya golongan elit tapi orang biasa juga.
“Tarikannya melangkaui batasan sosial daripada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya. – BOOM!
Sumber: HARIAN METRO