Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek membuat kemunculan istimewa sebagai pembaca berita dalam Segmen Khas Kelas 2023, Buletin Bernama, di saluran Bernama TV.
Segmen khas selama kira-kira 15 minit sempena Hari Guru itu bakal disiarkan pada 8 malam dan 11 malam ini, yang akan mengetengahkan inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) berkaitan sektor pendidikan dan guru.
“Ini bukan satu tugasan yang mudah, tetapi Alhamdulillah, saya sangat berbangga dapat jadi sebahagian daripada warga berita hari ini.
“Pertamanya kerana dapat merealisasikan cita-cita dari kecil untuk jadi pembaca berita.
“Kedua, mengetahui pentingnya proses membaca berita… apatah lagi untuk menyampaikan maklumat kepada penonton dan pendengar.
“Jadi (perlu) ada disiplin yang sangat kuat yang saya pelajari hari ini untuk menjadi seorang pembaca berita,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Bernama hari ini.
Beliau berkata dalam usaha menghargai guru dan mengangkat martabat profesion itu, KPM melaksanakan pelbagai usaha termasuk pengumuman 10 prakarsa atau inisiatif bagi memperkasa kebajikan dan mengurangkan beban tugas guru.
Sementara itu, sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 pada 27 hingga 29 Mei ini, Fadhlina menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengamal media yang membuat liputan mengenai inisiatif KPM sepanjang enam bulan beliau menjalankan tugas sebagai menteri.
Beliau berkata bagi memastikan maklumat sampai kepada rakyat dan akar umbi, media memainkan peranan yang sangat penting yang harus dilaksanakan dengan penuh integriti dan telus, selain memastikan maklumat tersebut tepat dan sahih.
“Penting untuk kita didik masyarakat tentang bagaimana mendapatkan berita yang betul dan benar, semak sebelum mereka kongsikan kepada yang lain,” katanya. – JURNAL
Sumber: BERNAMA