Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengarahkan penganjur Good Vibes Festival membatalkan penganjuran acara tersebut serta-merta.
Meski pun masih berbaki dua hari, Fahmi dalam pertemuannya dengan penganjur, Future Sound Asia meminta kedua-dua acara dibatalkan.
Menurut Fahmi Kerajaan Perpaduan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia.
“Saya telah memanggil penganjur Festival Good Vibes 2023 iaitu Future Sound Asia, susulan aksi dan kenyataan sangat biadab yang dipamerkan oleh artis dari UK “The 1975” di Sepang malam tadi.
“Ingin saya tegaskan, pendirian Kerajaan Perpaduan amat jelas.
“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia.
Justeru, saya telah mengarahkan PEMBATALAN SERTA MERTA baki festival tersebut yang sepatutnya berlangsung hari ini sehingga esok, 23 Julai,” katanya.
Selain itu Fahmi turut menggesa penganjur untuk mengenal pasti mekanisme ganti rugi kepada pembeli-pembeli tiket.
“Saya faham keputusan ini akan memberi implikasi kepada penonton yang telah membeli tiket.
“Sehubungan itu, saya juga telah menggesa penganjur untuk mengenal pasti mekanisme ganti rug kepada pembeli-pembeli tiket.
“Kerajaan sentiasa komited menyokong pembangunan industri kreatif dan kebebasan bersuara.
“Walau bagaimanapun, jangan sesekali menyentuh sensitiviti masyarakat, khususnya yang bertentangan dengan adab dan nilai budaya tempatan,” tegasnya.
Pembatalan tersebut susulan tindakan biadab vokalis kumpulan The 1975, Matty Healy menunjukkan perlakuan kurang sopan dalam konsert di Good Vibes Festival 2023 berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor, malam tadi. – JURNAL