Menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seorang peguam disenaraikan sebagai individu dikehendaki selepas dikenakan notis merah oleh Polis Antarabangsa (INTERPOL).
Perkara tersebut disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
“Ya, sudah. Tindakan Notis Merah dikenakan terhadap mereka,” katanya.
15 Ogos lalu, Razarudin dilaporkan berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permintaan lisan untuk Notis Merah ke atas Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan 48, dan peguam, Mansoor Saat, 69.
Razarudin juga memaklumkan pihaknya akan bekerjasama rapat dengan agensi anti rasuah itu untuk membawa pulang dua individu dikehendaki terbabit.
Adlan dan Mansoor dikehendaki SPRM bagi membantu siasatan sebuah projek membabitkan pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan data biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.
SPRM berkata, kedua-dua individu terbabit meninggalkan Malaysia Mei lalu.
Tetapi, Adlan dan Mansoor kemudiannya mengeluarkan kenyataan melalui peguam menafikan mereka melarikan diri daripada undang-undang. – JURNAL
Sumber: UTUSAN MALAYSIA