Olahragawati negara, Shereen Samson Vallabouy terus mempamerkan kecemerlangan luar biasa apabila sekali lagi mencatat sejarah peribadi apabila meleburkan rekod kebangsaan acara 400 meter luar dewan.
Rekod berusia 30 tahun milik bekas atlet, Allahyarhamah Rabia Abdul Salam itu diatasinya dengan catatan baharu 52.27 saat dalam Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan Divisyen II Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Virginia Beach, Virginia, Amerika Syarikat (AS), Ahad lalu.
Dengan kepantasan tersebut, Shereen sekali gus menewaskan dua pelari tuan rumah, Shiean Walters yang mengakhiri aksi final di tempat kedua dengan catatan 53.54s, manakala Tiffany Hughey berada di posisi ketiga (53.68s).
Justeru, atlet berusia 25 tahun itu tidak mustahil bakal membuat kejutan lagi untuk meleburkan rekod luar dewan, juga milik Rabia menerusi kejohanan akan datang yang dijadualkan pada April.
Ibu Shereen, Josephine Mary Singarayar yang juga bekas olahragawati nyata berbangga dengan pencapaian anak bongsunya itu dan menyifatkan segala kerja keras ditunjukkan sebelum ini sedang menuai hasil.
“Saya harap prestasinya terus meningkat dan meraih pencapaian di peringkat yang lebih tinggi.
“Dengan catatan dalam dewan yang dilakukannya ini, saya percaya dia mampu berlari lebih pantas apabila memulakan kejohanan luar dewan pula yang bermula hujung bulan depan,” katanya.
Terdahulu, nama Shereen mula menjadi sebutan apabila rekod kebangsaan dalam dewan milik Noraseela Mohd Khalid (54.58s) pada 2006 berjaya diatasi dengan catatan masa 53.79s.
Dia kemudiannya memperbaharui rekod berkenaan dengan catatan 53.47s ketika Kejohanan Bearson Gathje Classics di Minnesota, awal tahun ini.
Rekod ketiga yang dipadamkannya pula adalah ketika Shereen memenangi pingat emas pada Kejohanan Olahraga Jemputan Lewis Illinois, Chicago dengan catatan 52.87 saat (s), bulan lalu.- JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN