Artikel ini sengaja ditulis ringkas, buat mereka yang mahu berfikir.
Lee Kuan Yew (mendiang) adalah bekas Perdana Menteri, wira dan negarawan ulung Singapura.
Memoir The Singapore Story yang dikarang sendiri olehnya, telah direncana dengan cermat dan berhati-hati.
Demi menjadi rujukan sejarah buat generasi masa depan Singapura. Ironinya ia lebih wajar menjadi teladan buat bangsa Malaysia.
Buku yang mengandungi 43 bab itu, sarat dengan pelbagai kisah perjuangan dan ketabahan generasi pelopor sebuah negara pulau.
Daripada catatan tentang suka duka akibat penceraian talak tiga oleh Malaysia, hinggalah kepada pencaturan penuh muslihat kerajaan pimpinan Lee Kuan Yew – ketika usaha mendapatkan bantuan Israel bagi membina angkatan bersenjata Republik Singapura.
Gagasan Malaysian Malaysia dan ikrar meritokrasi dikatakan telah menjadi antara punca utama tersingkirnya Singapura daripada menganggotai keluarga besar Malaysia.
Kini, selepas hampir enam dekad, dengan tadbir urus bersih rasuah, budaya meritokrasi dan amalan ‘demokrasi terpimpin’ – Singapura muncul menjadi negara kuasa besar dan pusat mukjizat ekonomi yang dikagumi dunia.
Dalam satu syarahan, Lee Kuan Yew dengan gaya karisma tersendiri dan nada suara penuh bersemangat berkata ‘Siapa saja yang mentadbir Singapura, mestilah berhati waja, atau (elok) letak jawatan saja’.
‘Ini bukan permainan kad (nasib atau judi). Ia adalah tentang (masa depan) kehidupan kamu dan aku!’.
Tambahnya lagi ‘Aku mengabdikan seluruh masa kehidupanku untuk membina semua ini (kemajuan Singapura) … dan selagi aku berkuasa, tiada siapa yang mampu menumbangkannya’.
Teladan buat tanah pertiwi dan bangsaku Malaysia. – JURNAL
Sumber: BEBASNEWS