Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) telah merobohkan binaan haram di sebuah pusat pelancongan di Cameron Highlands kerana tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.
MDCH menerusi hantaran di Facebook berkata, tindakan penguatkuasaan ini dilakukan mengikut Seksyen 70 (1) Akta 133, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.
Operasi bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir sekitar jam 11.30 pagi, diketuai oleh Yang Dipertua MDCH, Tuan Azmil Hadid bin Maznan.
Gambar-gambar menunjukkan perobohan berskala besar termasuk penggunaan jengkaut dan penukul besi untuk meruntuhkan struktur dinding dan kaunter.
MDCH berharap tindakan ini menjadi pengajaran dan peringatan kepada semua pihak agar mematuhi prosedur dan peraturan pembangunan.
Berita ini telah menarik perhatian ramai dan menerima pelbagai reaksi. Kebanyakan netizen menyokong tindakan tegas MDCH terhadap pembinaan haram tersebut.
Namun, ada netizen yang menyatakan rasa kecewa kerana tidak sempat mengunjungi dan mengambil gambar di lokasi tersebut yang popular di kalangan pencinta fotografi.
Sementara itu, ada juga yang mendedahkan harga tiket masuk ke tempat tersebut terlalu mahal dan hanya mampu diakses oleh golongan berkemampuan. -JURNAL