Mayat seorang lelaki dengan tujuh anggota badannya dikerat dan disumbatkan ke dalam bagasi ditemui di tepi Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Rawang di Sungai Buloh semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat lelaki dewasa itu daripada orang awam pada pukul 11.25 pagi.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mayat tersebut tiada pengenalan diri yang ditemui bersamanya.
“Polis sedang menyiasat lanjut mengenai penemuan mayat terbabit,” tambahnya.
Sementara itu, satu sumber berkata, bahagian badan mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di lereng bukit berhampiran lokasi berkenaan.
Kata sumber lagi, polis kemudian menemui sebuah bagasi berhampiran mayat mangsa yang diisi dengan bahagian kepala manusia, kaki, tangan dan dua lagi anggota badan lain.
“Anggota badan dalam bagasi itu disyaki milik mayat lelaki yang dijumpai tanpa kepala dan beberapa bahagian badan lain di tepi bagasi itu,” katanya. – JURNAL
Sumber: UTUSAN