Kerajaan Melaka menawarkan kepada pelancong yang berkunjung ke negeri itu untuk masuk dan menggunakan kemudahan secara percuma di 10 tarikan pelancongan pada 20 Februari ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata tawaran itu sempena sambutan Hari Memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
Katanya, pada hari berkenaan juga pelancong akan turut menikmati parkir percuma di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu.
Kemasukan percuma itu membabitkan perkhidmatan Melaka River Cruise menerusi penyediaan 15 bot di tiga jeti iaitu Jeti Pengkalan Rama, Jeti Taman Rempah dan Jeti Muara.
Selain itu, Menara Taming Sari (9 pagi hingga 5 petang); 21 muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) (9 pagi hingga 5 petang); Zoo Melaka (10 pagi hingga 5 petang, menggunakan sistem `first come first serve’), Balai Cerap Al-Khawarizmi (9 pagi hingga 5 petang).
Di samping itu, Melaka Wonderland & Themepark (6 petang hingga 10 malam), Taman Laut Negeri Melaka (kos aktiviti menyelam sahaja), lima kelab golf Melaka (percuma green fee), Muzium Penjara Malaysia Melaka (9 pagi hingga 5 petang) dan Malaysia Heritage Studios (10 pagi hingga 6 petang)
“Tawaran dibuat berikutan 20 Februari adalah tarikh istimewa dan cuti umum di Melaka sekali gus kerajaan negeri berhasrat meraikannya bersama penduduk serta pelancong,” katanya pada sidang media di Seri Negeri di sini, hari ini.
Hadir sama EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abd Razak Abd Rahman dan timbalannya, Datuk Zaidi Attan serta Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka, Saari Basiron.
Ab Rauf berkata sempena sambutan itu juga, satu acara khas bagi memperingati Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu diadakan di Banda Hilir.
Katanya, lakonan semula babak sejarah ketibaan Tunku Abdul Rahman di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir itu akan bermula jam 4 petang menerusi perarakan yang menggunakan kereta bernombor pendaftaran M4442.
“Majlis bermula dengan perarakan oleh Kereta Tunku M4442 bersama rombongan, seterusnya diadakan pembacaan Watikah Kemerdekaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disusuli dengan bacaan yasin serta tahlil.
“Pada jam 6 petang pula, bertempat di perkarangan Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka, acara diteruskan dengan Malam Aneka Warna menampilkan persembahan teater muzikal bertajuk `Di Atas Runtuhan Kota Melaka Kita Dirikan Negara Baru,” katanya.
Ab Rauf berharap masyarakat dalam dan luar Melaka untuk sama-sama menghayati sejarah bermulanya kemerdekaan negara yang hanya diadakan di Melaka. – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN