Berpengalaman dalam bidang perhubungan awam dan sumber manusia bukan halangan buat Datuk Muhammad Razlan Ismail membina perniagaan dalam bidang industri kreatif.
Ujarnya, dia menceburi industri kreatif terutama sebagai penerbit filem adalah kerana minat mendalam.
“Bapa saya seorang cikgu BM (Bahasa Melayu) dan saya juga budak sastera, banyak menulis. Selepas saya menceburi perjalanan karier dalam Malaysia Airlines, telco dan juga saya berniaga sendiri, sampai satu ketika saya ikut kata hati dan bermula pada tahun 2010 saya masuk industri kreatif,” katanya.
Beliau yang juga Pengarah Urusan Dream At Work Sdn Bhd berpendapat setiap usahawan dan perniagaan perlu ada perancangan lain seperti Pelan B dan Pelan C untuk meneruskan bisnes.
“Saya cuma berpendapat bukan dari sudut berniaga, perlu ada pilihan pelan A, B dan C. Semua pelan ini bagus untuk usahawan agar kekal sebagai usahawan.
“Pelan pertama sudah tentu bagus tapi Pelan B dan Pelan C adalah menjaminkan perjalanan seterusnya. Bila ada ‘pancit’, ia boleh membantu untuk tahun seterusnya dan penghujung sudah tentu mencapai matlamat,” katanya.
Muhammad Razlan percaya kerja dalam satu pasukan sangat penting dalam menguruskan perniagaan lebih baik.
“Dalam pasukan, mereka boleh melaporkan pada kita terutama sebagai ketua perlu tahu dan percaya pada pekerja apa untuk sampaikan mengenai semua masalah yang akan datang.
“Pada peringat awal nak jadi usahawan, kena ‘micromanage’ untuk melihat semua perkara dan secara perlahan boleh agihkan pada orang lain. Apapun, kepercayaan paling penting,” katanya.
Dalam membuat Pelan B atau Pelan C, Muhammad Razlan percaya ia sebagai pelan kecemasan yang dapat membantu perniagaan ketika berdepan kesulitan.
“Jika hanya ada 1 produk, perkara pertama perlu tahu adalah ‘road map’ untuk mencapai kejayaan. Kedua, kena ada Pelan B, kalau dalam perjalanan tersebut berlaku pancit dan kena percaya pesaing ada di mana-mana.
“Setiap usahawan perlu ada prinsip pertama iaitu ‘back-up’. Tidak kisah produk perniagaan apapun, kena ada pelan kecemasan. Sama ada pelan kecemasan ini sama besar dengan pelan asal atau tidak, itu bukan persoalan tapi perlu ada.
Kalau tidak anda akan pancit dan menyerah awal,” katanya.
Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai bisnes yang dijalankan Muhammad Razlan, jangan lupa saksikan temu bual bersamanya dalam program bual bicara terbaharu, Sembang Protege x KRU dalam Episod 9 – ‘Plan B, C & D’ menerusi platform laman sosial PROTEGE di YouTube, Facebook dan Instagram. – JURNAL