Sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dalam perjalanan ke Seoul, Korea Selatan, terpaksa berpatah balik ke Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi selepas dipercayai mengalami masalah teknikal.
Menurut data dari FlightRadar, pesawat MH66 berlepas dari KLIA pada jam 11.50 malam, tetapi terpaksa membuat pusingan semula dan mendarat dengan selamat di KLIA pada jam 12.34 pagi.
Sementara itu, netizen mula membincangkan insiden ini di media sosial, termasuk dalam kumpulan penyokong Malaysia Airlines di Facebook.
Dalam salah satu kiriman, seorang pengguna mendakwa pesawat Airbus A330-323 itu mengalami masalah hidraulik sejurus selepas berlepas.
Walau bagaimanapun, pesawat tersebut berjaya mendarat dengan selamat, dan proses pendaratan dilaporkan berjalan lancar.
Seorang penumpang MH66 juga berkongsi bahawa mereka telah disediakan penginapan di hotel berhampiran lapangan terbang sehingga penerbangan seterusnya dijadualkan pada pukul 8 malam ini.
Penumpang itu turut memuji kapten dan krew penerbangan atas profesionalisme mereka dalam menangani situasi cemas tersebut. – JURNAL