Krisis bekalan air yang melibatkan 13,000 pengguna di kawasan Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah dijangka pulih dalam tempoh dua minggu lagi, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Kol (K) Datuk Ahmad Faizal.
LRA Bukit Remah terpaksa ditutup sejak 28 November lalu akibat runtuhan cerun luar biasa yang menyebabkan kerosakan serius pada paip air mentah dan terawat serta mengancam bangunan utama loji.
“Situasi di tapak sangat serius. Pergerakan tanah yang terus berlaku hampir menjejaskan struktur bangunan utama,” jelasnya.
Bagi memastikan pengguna tidak terjejas, SPAN telah menggerakkan 15 lori tangki agihan dan 26 tangki statik di lokasi strategik dengan bantuan lapan operator air dari seluruh Semenanjung Malaysia. Operasi ini bermula 29 November lalu dan akan diteruskan sehingga bekalan air kembali normal.
Dalam usaha mempercepatkan pemulihan, Jabatan Kerja Raya (JKR) turut membantu dalam kajian kestabilan cerun dan kerja pembaikan. Tambahan pula, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Kelantan menyediakan lori tangki berkapasiti 5,000 liter untuk kegunaan Hospital Tanah Merah serta menawarkan dua loji rawatan air mudah alih.
Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) pula bekerja 24 jam membaik pulih paip rosak di lokasi berbahaya.
“Walaupun kerja pembaikan bergantung kepada faktor cuaca dan kestabilan cerun, kami komited memastikan bekalan air pulih secepat mungkin,” katanya.
Sebagai langkah jangka panjang, AKSB merancang pembinaan loji rawatan air mudah alih berkapasiti 3 juta liter sehari serta telaga tiub berkapasiti 2 juta liter sehari untuk memastikan bekalan air lebih stabil pada masa hadapan. – JURNAL