Wanita yang menjadi mangsa pembunuhan kejam kekasihnya merupakan seorang anak yatim piatu dan bekerja sebagai pelayan restoran.
Mangsa yang berusia 21 tahun menjadi yatim piatu selepas ibu bapanya meninggal dunia masing-masing sejak tiga tahun lalu dan Ogos lalu.
BACA: Teman Lelaki Tikam, Toreh Dan Bakar Kekasih Dua Kali Kerana Mahu Sembunyikan Kehamilan
Difahamkan mangsa tinggal menyewa bersama kakaknya di Sungai Besar.
Kakak mangsa yang enggan identitinya didedahkan berkata, beberapa hari sebelum tragedi menyayat hati itu, adiknya tidak ceria seperti selalu.
Adiknya yang merupakan anak kelima daripada enam beradik mengadu tidak sihat dan hanya bekerja separuh hari, kelmarin.
“Dia (mangsa) kemudian sempat pulang ke rumah keluarga kami pada sebelah petang sebelum keluar untuk menemui rakannya.
“Namun, saya berasa tidak sedap hati apabila mendapati dia masih tidak pulang sehingga ke malam dan gagal hubungi telefonnya” katanya sebak ketika ditemui di kediaman keluarganya di sebuah kampung di Sungai Besar, petang Rabu.
Jelas wanita berusia 26 tahun itu lagi, dia terkejut apabila menerima panggilan daripada majikan adiknya itu mengenai penemuan satu mayat, kira-kira pukul 5.30 petang semalam.
“Kami kini menyerahkan kepada polis bagi menjalankan siasatan dan mengharapkan keajaiban berlaku,” katanya.
Tambahnya lagi, mangsa disifatkan sebagai seorang yang ceria dan peramah biarpun agak perahsia.
“Saya tidak begitu mengetahui tentang hal peribadinya sejak kami tinggal di rumah sewa sama di sekitar daerah ini.
“Kami kali terakhir berjumpa pada malam Ahad lalu ketika makan malam bersama keluarga dan dia dilihat agak kurang sihat,” jelasnya.
Terdahulu, media melaporkan, mangsa ditemui dalam keadaan terbakar oleh orang awam di kawasan belukar kebun kelapa sawit, berhampiran kandang lembu.
Difahamkan, kejadian berpunca apabila suspek lelaki berusia 20 tahun mahu merahsiakan kehamilan selepas melakukan hubungan sulit dengan mangsa.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias, dilaporkan berkata polis menahan suspek yang terbabit dalam kejadian itu di kawasan Sungai Besar. – JURNAL