Pulau Pinang terus dilanda banjir dengan jumlah mangsa yang terjejas semakin meningkat, menyebabkan pembukaan pusat pemindahan sementara (PPS) turut bertambah. Di Seberang Perai sahaja, PPS yang sebelum ini hanya tujuh, kini bertambah kepada 11. Empat PPS dibuka di Seberang Perai Utara, lima di Seberang Perai Tengah, dan dua lagi di Seberang Perai Selatan.
Menurut laporan terkini Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pulau Pinang pada jam 7.30 pagi tadi, sebanyak 556 mangsa yang melibatkan 147 keluarga telah ditempatkan di semua PPS berkenaan. Keadaan semakin membimbangkan apabila Sungai Muda di Bumbung Lima mencatatkan bacaan aras air melebihi tahap bahaya, manakala Sungai Lahar Endin berada di tahap berwaspada.
Sebelum ini, hanya tujuh PPS dibuka bagi menempatkan 77 mangsa melibatkan 25 keluarga yang kediaman mereka dilanda banjir kilat sejak semalam. Insiden hujan lebat serta angin kencang yang melanda telah menyebabkan banjir kilat di lebih 70 lokasi di Seberang Perai, selain kejadian pokok tumbang yang turut merosakkan rumah dan kenderaan.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga telah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, dan Perak. Hasil analisis menunjukkan penumpuan angin di utara Semenanjung dan barat Sabah yang dijangka berlanjutan sehingga Sabtu ini.
Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memaklumkan, hampir 200 aduan pokok tumbang diterima dalam tempoh tiga hari kebelakangan ini, termasuk yang melibatkan kerosakan pada rumah dan kenderaan. Setakat tengah hari semalam, kerajaan negeri masih giat menangani aduan-aduan berkenaan. – JURNAL
Sumber: Berita Harian