Jumlah mangsa banjir di Kedah terus melonjak kepada 2,505 orang daripada 907 keluarga yang kini ditempatkan di 21 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima daerah, sehingga jam 8 pagi tadi.
Angka ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding 1,419 mangsa daripada 447 keluarga yang direkodkan pada jam 8 malam semalam.
Sehingga kini, tiga lagi PPS baharu telah dibuka menjadikan keseluruhan 21 PPS aktif di daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Baling, Pendang, dan Pokok Sena.
Laman Info Public Banjir turut melaporkan bahawa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan lapan sungai di negeri ini terus mencatatkan paras air melebihi tahap bahaya, setakat jam 8 pagi tadi. – JURNAL
Sumber: Harian Metro