Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 di Lubnan dibenarkan membalas serangan rejim Zionis sekiranya diserang, sebagai langkah mempertahankan diri.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa tindakan balas hanya boleh dilakukan jika serangan dimulakan oleh Israel, namun pasukan tersebut tidak dibenarkan memulakan serangan.
“Jika untuk pertahanan diri, memang dibolehkan membalas tembakan, tetapi serangan ofensif tidak dibenarkan kerana peranan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) adalah sebagai pengaman,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) di Dewan Rakyat.
Beliau juga memaklumkan bahawa keadaan pasukan MALBATT adalah terkawal tanpa sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan aset sepanjang konflik antara Hizbullah dan Israel.
Semua pasukan di bawah UNIFIL diarahkan untuk kekal di penempatan masing-masing dan tidak menjalankan operasi rondaan atau pergerakan logistik.
Mohamed Khaled turut menyebut bahawa UNIFIL menyediakan kemudahan dewan bedah dan kerjasama dengan hospital tempatan di Lubnan untuk keperluan kecemasan. – JURNAL
Sumber: Berita Harian