Malaysia boleh mempertimbangkan untuk menaikkan had umur persaraan kepada 65 tahun berikutan kadar hayat kesihatan dan tenaga kerja rakyat di negara ini sudah meningkat kepada 75 tahun.
Sebagai contoh dalam konteks Malaysia, seorang bayi yang lahir pada 2021 secara puratanya dijangka hidup sehingga berusia 75 tahun.
Peningkatan jangkaan hayat penduduk ini bakal menyaksikan negara berhadapan dengan masyarakat menua yang berusia 65 tahun ke atas sekitar 15.3 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia pada 2030.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, keperluan umur persaraan perlu dinaikkan berdasarkan beberapa fakta.
Katanya, akta umur persaraan kebangsaan adalah 60 tahun dan pekerja boleh menyambung kerja mengikut status kesihatan dan berdasar hak syarikat di mana boleh terus bekerja sehingga 64 tahun kontrak tahun ke tahun.
“MTUC sudah menghantar permohonan untuk menaikkan umur persaraan kepada 65 tahun dan setakat ini ia masih belum mendapat jawapan positif daripada kerajaan.
“Selain itu, MTUC melihat keperluan untuk menaikkan umur persaraan kerana kadar hayat (kesihatan dan tenaga kerja rakyat Malaysia) sehingga berusia 75 tahun dan tenaga kerja masih mampu menjalankan tanggungjawab kerana masih sihat.
“Selain itu, kenapa perlu menaikkan umur persaraan ini kerana tenaga kerja masih terus bekerja berikutan tanggungan ekonomi hidup yang semakin tinggi dan tenaga kerja tidak mempunyai cukup simpanan Kumpulan Wang Simpanan (KWSP) untuk menanggung hidup 15 tahun persaraan.
“Malah, tenaga kerja ini boleh mengurangkan pergantungan kepada tenaga pekerja asing di mana kepakaran, pengalaman dan ilmu pengetahuan kerja tidak dibazirkan,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, tenaga kerja ini tidak akan membebankan kerajaan dengan kos perubatan jika mereka masih bekerja kerana mereka masih mendapat perlindungan keselamatan dan kesihatan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Beliau berkata, tenaga kerja ini masih mencarum dalam simpanan KWSP dan membuat simpanan yang lebih untuk persediaan persaraan.
Di bawah Perlembagaan Persekutuan, pencen adalah tanggungjawab kerajaan Persekutuan seperti mana ditetapkan di bawah Perkara 74 Jadual Kesembilan, Senarai I, Para 6(d) Senarai Persekutuan.
Perlindungan hak pencen pula termaktub di bawah Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, had umur pencen di Malaysia sudah mengalami tiga kali perubahan dalam tempoh 20 tahun, bermula pada 2001 apabila umur bersara penjawat awam dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 56 tahun dan kemudian pada 2008, dilanjutkan daripada 56 tahun kepada 58 tahun.
Perubahan sekali lagi disaksikan pada 2012 apabila had usia persaraan dilanjutkan daripada 58 tahun kepada 60 tahun. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO