Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan sokongan terhadap prinsip perkongsian masa hadapan yang diutarakan oleh Presiden China, Xi Jinping. Prinsip ini menekankan kepentingan perkongsian kemakmuran yang bermanfaat untuk setiap individu dan negara, sekali gus menjadi faktor utama Malaysia menyertai pakatan BRICS.
“Dalam soal ini, saya menzahirkan penghargaan tertinggi atas sokongan China terhadap penyertaan Malaysia sebagai Negara Rakan BRICS,” jelas Anwar, yang turut menekankan bahawa Malaysia terus terbuka untuk kerjasama strategik bersama China, terutama dalam bidang pelaburan teknologi berkualiti tinggi, ekonomi digital, pendidikan, dan sektor berkemahiran tinggi.
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas pertemuan dua hala antara Anwar dan Premier China, Li Qiang, yang diadakan petang semalam. Pertemuan tersebut turut memberi ruang untuk memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia-China yang kini sudah mencecah 50 tahun.
Anwar juga menyatakan hasrat Malaysia untuk mempertingkatkan hubungan perdagangan terutama melibatkan produk halal, sektor pertanian, serta bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Malaysia turut menzahirkan minat untuk belajar daripada kejayaan China dalam usaha membasmi kemiskinan menerusi kerjasama dengan agensi seperti China International Development Cooperation Agency (CIDCA) dan International Poverty Reduction Centre (IPRCC).
“Malaysia berkongsi keutamaan dalam beberapa dasar China, terutama dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar, memartabatkan kehidupan rakyat dan mencapai pembangunan mampan,” katanya.
Selepas pertemuan itu, Anwar dan Premier Li turut menyaksikan pertukaran dokumen terkait Inisiatif Belt and Road (BRI) serta memorandum persefahaman (MoU) antara BERNAMA dan China Media Group (CMG).
“Alhamdulillah, pertemuan ini telah mempererat hubungan peribadi antara saya dan Premier Li, dan memperkukuh persahabatan Malaysia-China yang pastinya akan memanfaatkan rakyat kedua-dua negara, Insya-Allah,” tambah Anwar. – JURNAL