Malaysia dan Mesir komited untuk memperkukuh hubungan dalam bidang pertahanan dan keselamatan, termasuk dialog tetap, perkongsian maklumat, dan latihan bersama untuk menangani jenayah rentas sempadan seperti ancaman keselamatan siber serta penipuan mata wang kripto. Komitmen ini disahkan semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Mesir, di mana beliau dan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, berbincang mengenai usaha peningkatan kerjasama.
“Langkah perlu akan diambil bagi memperluas dan meningkatkan kerjasama dalam bidang ini,” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan.
Penubuhan Pejabat Atase Pertahanan di Kaherah pada Mei lalu turut menegaskan hasrat Malaysia memperkukuh hubungan pertahanan dengan Mesir.
Dalam pertemuan dua hala itu, Anwar dan El-Sisi sepakat untuk membawa hubungan Malaysia-Mesir ke tahap perkongsian strategik dalam masa terdekat, dengan fokus pada pembangunan ekonomi dan kestabilan global. Kedua-dua pemimpin juga melihat potensi besar dalam bidang perdagangan dan pelaburan, di mana Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN dan COMESA dianggap sebagai platform penting untuk meningkatkan nilai perdagangan antara Malaysia dan Mesir.
Di samping itu, Anwar dan El-Sisi membincangkan kepentingan pendidikan tinggi, terutamanya biasiswa untuk pelajar Malaysia di Mesir, serta kerjasama antara kementerian dalam memajukan perjanjian bermanfaat bagi kedua-dua negara.
Dalam aspek budaya, kedua-dua negara komited untuk memperkukuh pertukaran pelajar dan penyelidikan budaya sebagai langkah untuk merapatkan hubungan rakyat. Mereka turut menekankan keperluan usaha bersama menangani isu perubahan iklim dengan pendekatan seimbang antara cita-cita iklim dan pembangunan mampan.
Di akhir lawatan, Anwar dan El-Sisi menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Wakaf Mesir dalam bidang hal ehwal Islam, menandakan lembaran baru kerjasama erat antara kedua-dua negara. – JURNAL