Malaysia kini secara rasmi diterima sebagai rakan kongsi BRICS, gabungan antara kerajaan yang terdiri daripada Brazil, Russia, India, China, dan Afrika Selatan.
Menurut ciapan terbaharu dari @BRICSInfo di laman sosial X, BRICS telah meluluskan penyertaan Malaysia serta Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Türkiye, Uganda, Uzbekistan, dan Vietnam sebagai rakan kongsi.
“BRICS secara rasmi menambah 13 negara baharu dalam gabungan sebagai rakan kongsi (bukan ahli penuh),” tulis kenyataan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 28 Julai lalu, mengesahkan bahawa Malaysia telah menghantar permohonan kepada Russia untuk menyertai BRICS susulan kunjungan hormat oleh Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov.
Pada 18 Jun tahun ini, Anwar turut menyatakan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.
BRICS merupakan organisasi global yang semakin berkembang dengan penyertaan negara-negara berpengaruh, termasuk Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu, yang merupakan ahli penuh.
Malaysia kini di barisan hadapan dalam gabungan global ini sebagai salah satu daripada 13 rakan kongsi baharu, membuktikan komitmennya dalam kerjasama antarabangsa yang lebih kukuh. – JURNAL