Malaysia mendapat semula kuota asal jemaah haji berjumlah 31,600 dengan pertambahan kuota tambahan pertama sebanyak 350 jemaah.
Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Azman Mokhtar, berkata ketika ini kerajaan sedang membuat rayuan kedua iaitu penambahan sehingga 10,000 lagi kuota, yang dijangka akan diketahui Mei ini.
“Kita berharap kuota tambahan dapat diluluskan bagi membolehkan lebih ramai peluang rakyat Malaysia menunaikan haji.
“Bagi rayuan pertama sebanyak 350 kuota sudah lulus dan rayuan kedua iaitu penambahan 10,000 lagi kuota masih dalam rayuan dan kita jangka awal Mei jawapan akan diterima,” katanya dalam sidang media pengumuman agihan keuntungan TH tahun 2022, pada Jumaat.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Amrin Awaluddin danPengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan, Mustakim Mohamad.
Pihak Kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota haji setiap negara pada kadar 0.1 peratus daripada jumlah penduduk negara berkenaan.
Kuota rasmi haji Malaysia adalah sebanyak 31,600 orang (berasaskan perangkaan penduduk Malaysia pada masa kini).
Mengulas lanjut, Azman berkata, TH masih mempertahankan keadaan bayaran haji dengan baik, walaupun keadaan ekonomi yang masih mencabar pada tahun ini.
“Urusan haji pada tahun ini kita masih mampu teruskan dengan baik walaupun situasi yang mencabar antaranya dalam menangani kadar inflasi haji yang tinggi, kos ke tanah suci yang meningkat selepas pandemik COVID-19, caj makanan dan cukai yang tinggi.
“Tahun ini juga adalah tahun kedua sistem menunaikan haji bersasar dijalankan dan kita berterima kasih kepada jemaah dan pendeposit yang masih menunjukkan kesedaran yang baik,” katanya.
Sementara itu, Amrin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TH, berkata Nilai Bantuan Kewangan Haji tahun ini meningkat sehingga RM400 juta, berbanding lebih RM200 juta, tahun lalu adalah disebabkan jumlah jemaah haji yang kembali kepada kuota asal.
Katanya, nilai asal bantuan kewangan itu bagaimanapun, hanya akan diketahui selepas musim haji selesai disebabkan permohonan kuota tambahan haji yang belum selesai.
“Tahun lalu, nilai bantuan TH pada musim haji tahun lalu adalah hampir RM200 juta disebabkan kita hanya menghantar sekitar 14,000 jemaah sahaja. Ia ada sedikit berbanding kos asal.
“Bagi tahun 2023, Bantuan Kewangan Haji yang dibayar untuk jemaah dan kos lain yang akan ditanggung TH adalah menghampiri RM400 juta namun nilai sebenar yang dapat dipastikan adalah selepas musim haji,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kemampuan membayar haji, Mohd Na’im berkata, terdapat lebih 20 jemaah haji kategori B40 sanggup membayar jumlah sebenar kos menunaikan haji.
“Alhamdullilah, apabila isu kemampuan menunaikan haji digerakkan, ia memberi kesedaran terhadap ramai pihak mengenai kemampuan dan pelaksanaan haji.
“Malah saya difahamkan, ada sekitar 20 lebih kalangan jemaah haji yang berada dalam kategori B40 sudi membayar penuh kos penuh. Mereka ini boleh berada menunaikan haji dengan bantuan, tetapi disebabkan kesedaran mengenai kemampuan ini, mereka sudi membayar penuh,” katanya. – JURNAL
Sumber: BERNAMA