Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri United Kingdom (UK), Sir Keir Starmer, pada Rabu di No. 10, Downing Street. Pertemuan ini bertujuan meningkatkan hubungan kedua-dua negara kepada tahap perkongsian strategik yang menyeluruh.
“Sudah tentunya tumpuan kepada ekonomi, pertahanan, dan pendidikan,” kata Anwar kepada pemberita selepas mesyuarat tersebut.
Sebagai Pengerusi ASEAN untuk 2025, Anwar menegaskan pentingnya menjalin kerjasama melibatkan bukan sahaja Malaysia, tetapi seluruh rantau ASEAN. Pasukan khas dari kabinet Malaysia dan UK akan segera dibentuk bagi memperkukuh kerjasama tersebut.
Kedua-dua pemimpin turut berbincang mengenai peluang dalam bidang tenaga hijau, Kecerdasan Buatan (AI), dan pendigitalan.
“Saya menggunakan lawatan ini untuk menunjukkan kesediaan Malaysia menerima pelaburan baharu demi mencipta sinergi ekonomi baharu,” ujar Anwar.
Beliau juga mempelawa Starmer melawat Malaysia bagi memperkukuh hubungan dua hala.
Dalam perkembangan lain, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK, Zakri Jaafar, menyatakan produk Malaysia, khususnya minyak sawit, akan mendapat manfaat daripada akses bebas tarif di UK di bawah Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP). UK secara rasmi menyertai CPTPP pada Disember 2023, memberikan kelebihan eksport tanpa tarif kepada negara anggota.
UK kini menjadi rakan dagang keempat terbesar Malaysia di Eropah, dengan jumlah perdagangan mencecah RM15.30 bilion dalam tempoh 11 bulan pertama 2024. – JURNAL
Sumber: Sinar Harian