Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Malaysia dan Brazil memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk memperkukuh kerjasama Global South, terutama dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor.
Dalam pertemuan bersama wakil industri semikonduktor kedua-dua negara di Brazil hari ini, Anwar menekankan kepentingan memperkukuhkan kerjasama pengeluaran dan pembangunan bakat.
“Malaysia dan Brazil berada dalam kedudukan berkecuali di tengah-tengah ketegangan geopolitik. Ini memberi peluang kepada kita memastikan daya tahan rantaian bekalan global sambil memanfaatkan kekuatan bersama,” ujarnya.
Pertemuan itu turut membincangkan strategi untuk menjadikan kedua-dua negara lebih kompetitif dalam sektor teknologi tinggi.
Lawatan rasmi Anwar ke Brazil sempena Sidang Kemuncak G20 dimulakan dengan pertemuan santai bersama komuniti Islam di Rio de Janeiro. Perbincangan berkisar kepada pembangunan ummah, pendidikan, dakwah, serta usaha memartabatkan Islam di Brazil.
Anwar turut menyatakan komitmen Malaysia membantu meningkatkan urusan halal dan menyokong pembangunan Masjid Luz, satu-satunya masjid di Rio de Janeiro.
“Saya sampaikan sumbangan kepada komuniti Islam di sini dan menyerahkan senaskah al-Quran cetakan khas, selain 10 naskah terjemahan dalam bahasa Portugis,” tambahnya.
Kehadiran Anwar di Brazil membawa mesej persahabatan dan kerjasama erat, selain menonjolkan peranan Malaysia dalam membina hubungan strategik antarabangsa. – JURNAL