Malaysia Airlines menghadapi cabaran apabila operasi pesawat A330neo digantung sekurang-kurangnya 48 jam susulan masalah teknikal.
Pesawat yang mencipta sejarah dengan penerbangan sulung ke Melbourne melalui MH149 pada Khamis lalu itu, mengalami tiga isu teknikal yang dikenal pasti berpunca daripada kualiti pengeluaran di kilang dan proses penghantaran.
Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Datuk Kapten Izham Ismail menyifatkan kejadian ini sebagai memalukan.
“Pesawat digantung operasi untuk dibaiki. Airbus dan Rolls-Royce perlu bertanggungjawab menyiasat punca masalah. Kejadian ini pada pesawat baharu tidak boleh diterima.
“Keselamatan adalah keutamaan kami, dan saya tidak akan sesekali mengambil risiko terhadapnya,” tegas Izham.
A330neo adalah pesawat badan lebar generasi baharu dikuasakan enjin Rolls-Royce Trent 7000, pertama kali diperkenalkan secara rasmi pada 19 Disember dalam majlis di KLIA. Namun, sebaik tiba di Kuala Lumpur, pesawat menghadapi masalah teknikal membabitkan enjin dan sistem hidraulik.
Masalah tersebut kembali menghantui pada 20 Disember, menyebabkan penerbangan ke Melbourne terpaksa dibatalkan sehari kemudian.
Jurucakap Airbus dan Rolls-Royce memberikan jaminan untuk menangani isu ini dengan segera.
“Kami bersedia membantu menyelesaikan masalah ini,” kata wakil Airbus.
Rolls-Royce pula memaklumkan pihaknya sedang mengganti komponen yang rosak untuk memastikan operasi pesawat kembali lancar.
MAG sebelum ini telah menerima kritikan akibat kelewatan penghantaran pesawat baharu dan kekurangan alat ganti. Pada September lalu, Izham menggesa pengilang asal (OEM) untuk lebih bertanggungjawab menangani cabaran penyelenggaraan industri penerbangan komersial global.
Pesawat A330neo dengan nombor pendaftaran 9M-MNG adalah satu daripada 20 pesawat yang ditempah untuk menggantikan armada lama Malaysia Airlines. Namun, isu ini menjadi tamparan besar kepada usaha pemodenan dan pengembangan syarikat penerbangan negara. – JURNAL
Sumber: Berita Harian