Peniaga wanita asal Kemboja dan anak lelakinya masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, atas tuduhan berasingan mengeluarkan kenyataan dan memulakan komunikasi video jelik mendakwa orang Melayu sebagai malas di media sosial, bulan lalu.
Tertuduh, Mariyah Yaakob, 47, pada mulanya teragak-agak ketika disoal jurubahasa sama ada faham atau tidak pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu kepadanya dan terpaksa dibantu peguamnya, Kamal Hisham Jaafar.
Dia yang berada di kandang pesalah kemudian mengangguk faham dan menjawab ‘tidak mengaku bersalah’ dalam prosiding didengar Hakim Mohd Sabri Ismail.
Mengikut pertuduhan, Mariyah didakwa menggunakan aplikasi TikTok dan membuat suatu penyataan iaitu “… so ada apa-apa, kalau orang Kemboja memang pandai berniaga kan, betul tak? dan orang Kemboja memang rajin, nak dibandingkan dengan orang Melayu, malas…” dengan niat yang mungkin mengapikan kaum Melayu pada 16 November lalu, kira-kira jam 6 petang.
Rakaman itu kemudian ditonton di sebuah rumah di Bukit Piatu, Kampung Musai, di sini dan berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, anak lelakinya, Ezuan Hafsham Mohd Hisyam, 22, yang juga Pengarah Mariyah Holding turut tidak mengaku bersalah atas tuduhan secara sedar menggunakan aplikasi TikTok di alamat sama dengan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video yang memaparkan ibunya mengatakan kenyataan jelik itu antara 14 hingga 16 November lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Terdahulu, pihak pendakwaan yang juga Pengarah Pendakwaan negeri, Ahmad Sazali Omar dan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan RM30,000 bagi setiap tertuduh dengan dua penjamin warga negara Malaysia masing-masing.
Beliau turut memohon syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa kedua-dua tertuduh diserah kepada mahkamah sehingga perbicaraan kes selesai selain perintah mahkamah supaya tertuduh atau mana-mana pihak tidak mengeluarkan kenyataan berkaitan kes itu hingga mengganggu perbicaraan.
Kamal Hisham bagaimanapun memohon jaminan rendah bagi kedua-dua tertuduh atas alasan jaminan dikenakan terlalu tinggi seolah-olah satu hukuman sedangkan anak guamnya belum didapati bersalah.
Katanya, pasport amat penting dan mustahak memandangkan Mariyah seorang ahli perniagaan yang kerap berurusan di luar negara manakala Ezuan Hafsham belajar di University of Reading di United Kingdom.
Peguam turut menyatakan kekangan dihadapi anak guamnya yang juga ibu tunggal dalam membesarkan tiga anak berusia 13, 18 dan 22 tahun yang masih belajar apatah lagi perniagaannya masih belum pulih daripada pandemik Covid-19.
“Sumber kewangan syarikat anak guam saya juga terjejas teruk susulan kes ini apabila ada kempen memboikot produk perniagaannya.
“Tertuduh kedua pula hanya seorang pelajar yang bergantung kepada sumbangan wang daripada ibunya yang dibantu dalam perniagaan ketika cuti semestER,” katanya memohon jaminan di bawah RM10,000.
Rayuannya dibantah Ahmad Sazali yang menghujahkan jumlah jaminan dicadangkan tidak tinggi dan dalam kemampuan tertuduh.
“Berkaitan pasport, tertuduh boleh membuat permohonan pada bila-bila masa di mahkamah jika terdapat keperluan dengan alasan tertentu.
“Mengenai tertuduh kedua, setakat ini tiada sebarang dokumen membuktikan dia pelajar diserahkan oleh peguam,” katanya.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan Mariyah dan anaknya masing-masing dilepaskan dengan ikat jamin RM15,000 dan RM10,000 berserta syarat dipohon pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 12 Januari depan bagi serahan dokumen. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO