Sebanyak 51 ekor lembu dikorbankan sempena Majlis Ibadat Qurban Jama’ie Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) bagi tahun 1444H/2023M pada Sabtu.
Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, berkenan mengurniakan tiga ekor lembu untuk dikorbankan di Padang Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, Kota Bharu, Kelantan.
Sembelihan disaksikan Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra yang berangkat bersama ibunda, Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abd Hamid.
Tengku Temenggung Kelantan, Tengku Datuk Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, seramai 2,500 asnaf akan menerima agihan daging korban itu.
Menurut beliau, agihan dilakukan melalui masjid di jajahan Kota Bharu.
“Setiap asnaf menerima sekilogram daging dan sekilogram tulang,” katanya kepada pemberita.
Program korban ini menjadi tradisi Maik bagi menceriakan asnaf dan golongan miskin melalui perkongsian rezeki daging korban. – JURNAL
Sumber: SINAR HARIAN