Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi menolak permohonan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali untuk dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu rayuannya berhubung sabitan dan penjara 12 tahun diputuskan.
Hakim Datuk Ahmad Bache memutuskan demikian selepas mendapati permohonan tersebut tidak mempunyai merit.
Siti Bainun memfailkan permohonan itu pada awal Mei lalu atas alasan dia mempunyai masalah kesihatan seperti asma dan penyakit hempedu, menanggung seorang ibu tua sakit yang memerlukan perhatian serta rawatan.
Pada 3 Mei lalu, Mahkamah Sesyen di sini mensabitkan Siti Bainun atas dua pertuduhan menganiaya dan mengabaikan seorang remaja Sindrom Down, Bella di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
INFO: Mahkamah Putuskan Siti Bainun Bersalah Atas Tuduhan Mendera Dan Aniaya Bella
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.
Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara. – JURNAL
Sumber: UTUSAN