Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) gagal dalam permohonannya untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bagi mencabar keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang enggan mengosongkan empat kerusi Parlimen di Sabah.
Empat kerusi itu melibatkan Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).
Ia susulan Hakim, Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Bersatu yang difailkan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan pegawai awam parti, Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya.
Amarjeet berkata, mahkamah terikat dengan keputusan kes di Mahkamah Persekutuan, bahawa mahkamah tiada bidang kuasa untuk mempersoal keputusan Speaker Dewan Rakyat berhubung kekosongan empat kerusi berkenaan.
“Ia berdasarkan Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan, maka mahkamah menolak permohonan pemohon (Bersatu) dan tiada perintah terhadap kos,” katanya.
Pada 28 April lalu, Bersatu memfailkan tindakan undang-undang untuk memohon supaya Johari mengisytiharkan empat kerusi Parlimen di Sabah, dikosongkan.
Parti itu menamakan Johari serta empat Ahli Parlimen terlibat sebagai responden pertama hingga kelima.
Dalam permohonan itu, Bersatu memohon suatu perintah untuk membatalkan keputusan Johari melalui surat bertarikh 16 Januari lepas yang menyatakan responden kedua hingga kelima telah memberi penjelasan. – JURNAL
Sumber: SINAR HARIAN