Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, perlu membayar RM1.35 juta kepada Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, sebagai pampasan dalam kes saman fitnah berhubung isu pembatalan pengecualian cukai Yayasan Al-Bukhary.
Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain dalam keputusannya mengarahkan Muhyiddin membayar ganti rugi am sebanyak RM1.05 juta serta tambahan ganti rugi teruk dan teladan masing-masing bernilai RM150,000.
Roz Mawar berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Muhyiddin dianggap tidak berasas dan tidak benar, serta terbukti membawa unsur fitnah terhadap Guan Eng.
“Mahkamah ini tidak dapat menerima hujahan bahawa bahasa yang digunakan dalam kenyataan itu tidak mengapi-apikan, kerana konteksnya menimbulkan sentimen perkauman,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa Muhyiddin seharusnya menggunakan sumber untuk mengesahkan fakta sebelum membuat sebarang kenyataan, namun gagal berbuat demikian.
Guan Eng memfailkan saman tersebut pada 27 Mac tahun lalu, mendakwa Muhyiddin mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui platform Facebook pada 9, 11 dan 12 Mac 2023, yang kemudiannya dipetik oleh beberapa akhbar dan portal berita. Kenyataan itu didakwa memberi gambaran seolah-olah Guan Eng menyalahgunakan kuasa dengan mengarahkan LHDN mengenakan cukai serta penalti terhadap Yayasan Al-Bukhary. – JURNAL
Sumber: Berita Harian