Mahkamah Sesyen hari ini meluluskan permohonan pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof, 36, dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, 35, untuk mendapatkan pasport sementara bagi menunaikan umrah.
Hakim Rosli Ahmad membenarkan pasport pasangan itu diserahkan kepada peguam mereka mulai hari ini sehingga 15 Januari, selepas pihak pendakwaan tidak mengemukakan bantahan.
“Permohonan ini dibenarkan. Pasport perlu dikembalikan kepada mahkamah pada 15 Januari,” kata Rosli.
Peguam pasangan itu, Ashok Athimulan, berkata anak guamnya akan bertolak ke Arab Saudi pada 5 Januari dan kembali ke Malaysia pada 14 Januari.
“Saya mohon pasport diserahkan hari ini kerana ia diperlukan untuk urusan visa,” kata Ashok.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, tidak membantah namun bertanya sama ada rancangan menunaikan umrah dibuat sebelum atau selepas pertuduhan.
Menjawab soalan itu, Fadzaruddin berkata dengan ringkas, “Perancangan dilakukan selepas pertuduhan.”
Pada 5 Disember lalu, Vivy dan suaminya mengaku tidak bersalah atas tuduhan pecah amanah melibatkan dana pelaburan RM8 juta daripada Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad yang berlaku enam tahun lalu.
Kedua-dua mereka dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan, dan denda.
Kes akan disebut semula pada 22 Januari depan. – JURNAL
Sumber: Berita Harian