Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini mengekalkan hakim asal, Yusof Sulaiman bagi mendengar prosiding nusyuz madu kepada pelakon Miera Leyana.
Hakim, Abdul Fattah Kamaruddin telah membenarkan permohonan peguam mewakili defendan, Adibah Abdul Mutalib iaitu Fatimawati Ismail.
Adibah adalah isteri pertama Ketua Pegawai Eksekutif SCIB (anak syarikat Serba Dinamik), Rosland Othman sebelum berpoligami dengan Miera Leyana.
Terdahulu, Abdul Fattah berpandangan, beliau sendiri boleh saja meneruskan pendengaran kes, tetapi perlu meneliti butiran kes terlebih dahulu.
“Untuk meneliti kes yang sudah difailkan lebih setahun lalu, ia akan ambil masa yang lama. Maka, sebaik-baiknya hakim asal yang mendengarnya,” jelas beliau.
Sementara itu Fatimawati ketika mengulas lanjut menjelaskan, kebenaran mengekalkan hakim asal tidak menyalahi arahan amalan yang membenarkan pengekalan hakim lama di peringkat kes plaintif jika ada permohonan dari mana-mana pihak.
“Pihak kami bersyukur hakim meraikan permohonan anak guam untuk mengekalkan hakim asal bagi prosiding nusyuz kerana beliau masih bertauliah kendalikan kes.
“Hakim asal dipindahkan ke Jabatan Kehakiman Syariah, tetapi masih boleh dipanggil untuk pendengaran jika ada permintaan,” katanya sewaktu ditemui di pekarangan Dewan Bicara 6, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini. – JURNAL