Luluh hati seorang ibu selepas mendapat tahu anaknya lumpuh selepas kepala ditendang rakan sekelas.
Ibu pelajar tersebut menerusi hantaran di Facebook (FB) berkata, kepala anaknya ditendang dengan kuat hanya kerana menegur perbuatan rakan sekelas menyebar video lucah di dalam kumpulan WhatsApp sekolah.
Wanita itu memberitahu, kejadian bermula apabila anaknya sebagai ketua kelas menegur rakan sekelasnya menyebarkan video lucah ke dalam kumpulan Whatsapp sekolah.
“Lalu dibalas dengan tendangan kuat di kepala (tendang secara curi). Mujur Allah pelihara, doktor kata kalau tendangan tu kena bahagian bawah sikit, maka gelaplah dunia mama.
Dalam hantaran tersebut, ibu kepada pelajar terbabit turut berkongsi foto anaknya yang sedang menerima rawatan di sebuah wad di hospital.
“Mimpi buruk bagi seorang ibu apabila menerima berita yang paling ditakutkan. Bermula dengan panggilan daripada warden asrama menyatakan anak jadi ‘paralyzed’ tak dapat menggerakkan badan kerana ada budak telah menendang kepalanya.
“Bila mana dia dikejarkan ke hospital oleh ambulans, hanya Allah saja yang tahu isi hati seorang ibu. ‘My sweet little boy’, bagi yang mengenali anak saya pasti tahu betapa anak ini tidak suka keganasan, konfrontasi dan kekerasan.
“Jiwanya penuh empati hasil didikan dari kecil bergaul dengan gelandangan, anak-anak yatim, orang asli dan golongan ‘vulnerable’. Tapi itulah takdir Allah yang sangat berat untuk hati seorang ibu menerimanya bila anak orang lain boleh berbuat sesuka hati terhadap anak sendiri,” katanya pada hantaran itu.
Dalam pada itu wanita tersebut turut berkongsi perkembangan terkini anaknya.
“Syukur Allah pelihara. Terkini anak saya sudah boleh menggerakkan tangan dan kaki. Namun ujian MRI perlu dilakukan untuk mengesan kecederaan dalaman.
“Doakan anak saya sembuh sepenuhnya dan jauh dari segala mudarat. Laporan polis telah dibuat,” katanya. – JURNAL