Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa Yang di-Pertuan Agong melucutkan gelaran Tan Sri Presiden PAS iaitu Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Berucap selepas menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Naib Ketua Pemuda Amanah, Abbas Salimi Adzmi berkata, Hadi telah menunjukkan sikap tidak mengendahkan titah Raja secara terang-terangan.
BACA: “Mereka Kecam Senjata Dan Kostum Tentera Islam Sebab Terikut Dengan Islamofobia!” – Hadi Awang
Mengulas lanjut hal itu kepada media di luar Istana Negara pada Rabu, baginda berkata bahawa, darjah kebesaran baginda adalah untuk membantu kerajaan dan berusaha ke arah pemulihan ekonomi.
“Agong telah bertitah perkara ini dalam pelbagai majlis termasuk ketika kerajaan dibentuk dan pada permulaan sidang Parlimen baru-baru ini,” kata Abbas.
Tambahnya, keperluan untuk melucutkan gelaran beliau adalah sebagai salah satu hukuman kerana tidak menghormati Raja dan Majlis Raja-raja.
“Bagi kami, tindakan Abdul Hadi itu menghina Agong,” katanya sambil menambah sebagai ahli politik kanan, Hadi harus bekerjasama membina dan memulihkan negara untuk rakyat dan tidak gila kuasa dengan cuba menjatuhkan kerajaan.
Beliau berkata, apa yang lebih menghina Agong ialah kenyataan Hadi bahawa tiada siapa boleh menghalang pertukaran kerajaan.
“Ini tidak boleh diterima kerana Agong telah berkali-kali menyatakan kepada semua ahli politik supaya menumpukan perhatian kepada pembangunan negara. Hadi tidak layak untuk memegang gelaran ini,” katanya.
Turut bersama beliau ialah Ketua Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan, Asma Alif Abdul Adam dan Pengarah Mobilisasi Pemuda Amanah, Ramadhan Lotfi. – JURNAL
Sumber: THE STAR