Litar pintas dipercayai punca gedung tekstil terkemuka negara iaitu Jakel cawangan Shah Alam di Seksyen 7 dijilat api.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 7.10 pagi berhubung kebakaran itu.
Katanya, pihak bomba dengan kekuatan tenaga kerja sebanyak 9 buah jentera telah sampai ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran yang mengambil masa kurang sejam.
“Tiada kemalangan jiwa berlaku dan punca kebakaran dipercayai litar pintas dari premis tersebut,” katanya.
Dilaporkan, kebakaran bangunan tiga tingkat itu mengakibatkan syarikat tekstil terbabit mengalami kerugian awal dianggarkan hampir RM100 juta.
Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel, berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh adiknya yang juga pengurus Jakel cawangan terbabit antara pukul 7 hingga 7.15 pagi.
Katanya, syarikat memperoleh keuntungan kira-kira RM300 juta setahun menerusi hasil jualan di cawangan berkenaan. – JURNAL