Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23) yang dijangka berlangsung pada 23 hingga 27 Mei ini, akan disertai lebih 600 syarikat pempamer daripada industri pertahanan tempatan dan antarabangsa.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata 80 peratus daripada mereka telah menyatakan komitmen untuk menyertai pameran berkenaan.
“LIMA ini merupakan pertunjukan udara dan maritim terbesar rantau ini. Kita perlu teruskan LIMA ini bukan sahaja untuk kita melihat aset-aset daripada pengeluar, malah untuk bertemu dengan pemain industri,” katanya semasa mengadakan Lawatan Kerja ke Pangkalan Udara Subang, pada Selasa.
Mohamad berkata, LIMA juga menjadi medium untuk diplomasi pertahanan strategik dengan kehadiran ramai menteri pertahanan negara lain terutama rantau Asia Tenggara.
Pameran LIMA kali terakhir dianjurkan pada 2019, dan selepas itu ia ditunda ekoran negara dilanda pandemik COVID-19.
Sementara itu, Mohamad turut menzahirkan harapan agar Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) yang dibubarkan 31 Dis tahun lepas dikembalikan semula kerana ia dilihat memainkan peranan penting dalam memperkukuh dan mempertahankan keselamatan negara secara berterusan pada masa akan datang.
Beliau berkata perkara itu dikemukakan dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini, untuk pertimbangan dan tindakan kerajaan selepas Op Benteng menerusi NTF mencapai kejayaan dalam menjamin keselamatan di sempadan negara dan mengekang kemasukan pendatang tanpa izin sekali gus membendung penularan COVID-19.
Mohamad berkata kementeriannya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga komited untuk meneruskan agenda pelaksanaan Kertas Putih Pertahanan (KPP) bagi tempoh 2021-2030 termasuk penerbitan dokumen susulan bagi Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara, Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan dan Pelan Pelaburan Pertahanan Negara.
Beliau berkata pelaksanaan KPP akan disokong oleh Pelan Strategik MINDEF bagi tahun 2021 hingga 2025.
“Bagi memastikan kejayaan agenda ini, kerjasama daripada semua warga MINDEF dan ATM amat diperlukan dan berusaha dengan penuh bertanggungjawab bagi memastikan petunjuk prestasi utama kementerian dapat dicapai tahun ini,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Muez Abd Aziz dan Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang. – JURNAL
Sumber: BERNAMA