Lebih 400 individu kenamaan (VVIP) dari seluruh Asia dijangka hadir pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2023 yang akan berlangsung di Langkawi pada 23 hingga 27 Mei depan.
Individu terbabit adalah menteri pertahanan, menteri pengangkutan serta ketua-ketua agensi pertahanan dan keselamatan negara.
Pengarah Eksekutif Alpine Solutions Sdn Bhd (Alpine) Muhammad Aqlan Pacleb berkata, individu itu adalah mereka yang membuat keputusan dalam urusan perniagaan berkaitan industri terlibat di rantau ini sepanjang pameran itu berlangsung.
Beliau berkata, kehadiran individu berkenaaan dapat meyakinkan pempamer untuk menyertai pameran yang sekali gus mencipta potensi perniagaan untuk mereka.
“Kami akan mempunyai sekurang-kurangnya 410 VVIP yang merupakan pembuat keputusan dari rantau ini yang akan ditemui pempamer…kami janji mereka akan dapat lihat urusan perniagaan,” katanya.
LIMA 2023 bertemakan ‘Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia’ dengan edisi kali ini membabitkan dua kementerian utama iaitu Kementerian Pertahanan (Industri Pertahanan Maritim dan Aerongkasa) dan Kementerian Pengangkutan (Industri Komersial Maritim dan Aeroangkasa).
Muhammad Aqlan berkata LIMA yang sinonim dengan pameran pertahanan dan keselamatan itu turut disertai Kementerian Pengangkutan (bagi sektor komersial) untuk kali kedua selepas edisi 2019.
Beliau mengakui Alpine sebagai penganjur LIMA 2023 pada mulanya sukar untuk meyakinkan pempamer untuk sektor komersial namun Kementerian Pengangkutan (MOT) percaya LIMA bukan sekadar pameran pertahanan dan keselamatan kerana ada syarikat yang bukan sekadar untuk memenuhi pasaran industri pertahanan dan keselamatan.
“Contohnya Airbus yang mengeluarkan enjin dan pembuat enjin jet pejuang pada masa yang sama, mereka turut menawarkan enjin untuk komersial…berdasarkan ini jadi kenapa kami tidak fokuskan ke arah itu kerana kami mempunyai sokongan yang kuat daripada MOT, mereka endors LIMA ini bukan setakat pameran pertahanan dan juga keselamatan tetapi juga untuk komersial,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Alpine Anita Jacobson berkata LIMA 2023 turut menyasarkan pasaran luar negara bagi memastikan pameran itu bersifat antarabangsa.
“Kempen jualan dan pemasaran bermula di luar negara dan kami menyertai pameran yang sama di United Kingdom, Thailand, Singapura dan berjumpa kapten industri bagi memaklumkan LIMA 2023 akan dianjurkan (setelah edisi 2021 tidak diadakan akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika itu),” katanya.
Menurutnya, 600 syarikat sudah mendaftar untuk menyertai pameran tersebut dengan 70 peratus penyertaan daripada syarikat antarabangsa dari 30 negara manakala 30 peratus lagi syarikat tempatan.
Kali terakhir pameran dwitahunan itu diadakan pada 2019. – JURNAL
Sumber: BERNAMA