Menggunakan akaun Instagram @hrhcrownprinceofjohor sebagai modus operandi untuk memperdaya mangsa, polis Johor kini memburu individu menyamar sebagai Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penyamaran itu sekitar jam 2.35 petang pada Selasa daripada media Istana Johor.
Menerusi satu tangkap layar kiriman mesej daripada akaun Instagram terbabit, seorang individu telah mengaku sebagai TMJ kepada beberapa pihak dan meminta sejumlah bayaran bagi urusan perniagaan.
Kumar berkata, melalui siasatan awal, pihaknya mendapati individu berkenaan melakukan penyamaran dengan membuat suntingan dan pengubahsuaian terhadap tangkap layar yang digunakan untuk berkomunikasi dengan mangsa.
“Modus operandi yang digunakan adalah dengan mengubah dan menggunakan gambar profil serta akaun Instagram TMJ, agar mangsa percaya mereka sedang berkomunikasi dengan baginda.
“Setakat ini, dipercayai mesej berkenaan telah diedarkan kepada lapan syarikat dan ada di antara syarikat berkenaan telah terpedaya, dan memasukkan sejumlah wang ke akaun yang diarahkan individu untuk mendapatkan projek yang ditawarkan,” katanya memetik satu kenyataan.
Tambah Kumar, kes disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan (Penyamaran), yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu), yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan didenda, jika sabit kesalahan.
“Polis Johor menyeru mana-mana pihak yang telah menjadi mangsa supaya melaporkannya segera kepada pihak polis. – JURNAL
Sumber: MAJORITI