Letusan gunung berapi White Island di New Zealand yang mengeluarkan kepulan abu tebal menyebabkan beberapa penerbangan tergendala pada Khamis.
Saintis kerajaan memberi amaran bahawa gunung berapi tersebut mungkin terus melepaskan abu selama beberapa minggu hingga beberapa bulan akan datang.
Gunung berapi yang sama pernah meletus pada 2019, dan telah meragut nyawa 22 orang.
Terletak kira-kira 50 kilometer dari Pulau Utara New Zealand dan 200 kilometer dari Auckland, White Island dahulunya merupakan destinasi pelancongan yang popular.
Kesan letusan kali ini mengakibatkan syarikat penerbangan nasional, Air New Zealand, terpaksa membatalkan 10 penerbangan domestik kerana laluan penerbangan yang dipenuhi abu gunung berapi.
Menurut Institut Penyelidikan GNS Science, imej satelit menunjukkan ‘aktiviti letusan kecil’ mula dikesan pada awal bulan ini.
Saintis percaya ini adalah sebahagian daripada kitaran letusan biasa di White Island, yang juga dikenali sebagai Whakaari oleh Orang Asli Maori.
“Aktiviti gunung berapi ini dijangka berterusan untuk tempoh yang lama, mungkin beberapa minggu hingga bulan,” jelas institut tersebut.
Saintis turut memberi amaran bahawa sesetengah penduduk di pulau utama New Zealand mungkin terhidu gas gunung berapi atau mengalami kerengsaan ringan pada mata atau tekak, namun kesannya dijangka minimal.
New Zealand telah menaikkan tahap amaran gunung berapi kepada tiga daripada maksimum lima tahap pada awal bulan ini. Sejak letusan pada 2019, lawatan ke White Island telah diharamkan. – JURNAL
Sumber: Berita Harian