Pakar Perunding Perubatan dan Pakar Nefrologi Hospital Putrajaya, Dr Rafidah Abdullah tampil memohon maaf secara terbuka kepada Khairulaming, selepas meminta pempengaruh popular tersebut menyediakan resipi sihat kepada orang ramai.
Menerusi ciapan di Twitter, Dr Rafidah berkata ramai tersalah anggap dengan kandungan ciapannya terhadap Khairulaming.
“Saya mohon maaf kerana saya nampak ramai yang salah anggap yang saya menuduh En Khairulaming merosakkan kesihatan rakyat Malaysia,” katanya.
Menurut Rafidah dia tidak berniat untuk menuding jari kepada sesiapa, cuma sekadar memberi pendapat profesional.
“Saya tidak menuduh siapa pun. Kesihatan anda adalah tanggungjawab diri anda. Tapi saya perlu memberi pendapat professional saya tentang apa yang saya lihat.
“Alhamdulillah sekarang ramai dah sedar sambal sangat banyak kalori. Nak makan, makan secubit dua sudah memadai,” ciapnya.
Terdahulu, ciapan Rafidah meminta Khairulaming menyediakan menu sihat mengundang pelbagai reaksi netizen.
Komen itu dibuat menerusi perkongsian video masakan Khairulaming menggunakan resipi sambal hijau bilis dan telur dadar untuk puasa hari kesembilan.
Sebagaimana dikongsikan dalam video, semua bahan-bahan seperti ikan bilis, cili hijau besar, cili padi hijau, bawang merah serta tomato hijau digoreng dalam minyak panas dalam kuantiti yang banyak sebanyak dua kali.
Termasuk juga telur dadar, Khairulaming menunjukkan cara ia digoreng dalam minyak panas supaya rangup di luar dan gebu di dalam.
Untuk rekod, 2023 merupakan tahun keenam Khairulaming berkongsi pelbagai juadah makanan dan minuman di media sosial menerusi buah tangan signaturnya, ’30 Hari 30 Resipi’. – JURNAL