Seorang lelaki warga tempatan yang disyaki menunggang motosikal melawan arus di jejambat Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) sehingga menyebabkan kemalangan maut, tampil menyerah diri di Balai Trafik Kajang, pada Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, suspek merupakan peniaga makanan berusia 41 tahun dan menetap di Kajang.
“Siasatan mendapati suspek dalam perjalanan dari Ampang untuk pulang ke rumah di Kajang tapi telah tersesat dan buat keputusan untuk memasuki jejambat Lebuhraya SUKE dengan melawan arus sehingga kemalangan berlaku.
“Akibat pergeseran dengan motosikal mangsa, suspek juga terjatuh dari motosikalnya dan selepas kemalangan terbabit suspek terus pulang ke rumah.
“Suspek hanya mengetahui kes berlaku setelah menonton berita di televisyen dan hebahan di media sosial,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.
Selain itu, suspek turut membuat laporan polis berhubung kemalangan tersebut.
Mohd Azam berkata, pemeriksaan terhadapi suspek mendapati dia mengalami kecederaan patah di bahagian bahu kanan, patah jari kelingking, luka di bahu kiri dan kaki kanan akibat kemalangan.
“Sehubungan itu, pihak polis merampas motosikal jenis Yamaha dan beberapa barang kes lain.
“Sebanyak enam rakaman percakapan saksi termasuk suspek telah direkodkan dan kedua buah motosikal terlibat akan dihantar ke Puspakom dan Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Tangkapan, bagaimanapun, kata Mohd Azam, tidak dibuat memandangkan kondisi suspek dalam keadaan cedera parah dan sukar bergerak.
Prosedur lanjut, ujar beliau, akan diambil setelah keadaan suspek kembali stabil
Pada Rabu lalu, seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati Panigale, maut selepas terjatuh dari jejambat Lebuhraya SUKE berhampiran Ulu Kelang.
Dalam kejadian sekitar jam 1.05 tengah hari itu, motosikal berkuasa tinggi ditunggangi mangsa sedang melalui satu laluan berselekoh sebelum secara tiba-tiba didatangi sebuah motosikal dari arah bertentangan dalam keadaan melawan arus. – JURNAL
Sumber: ASTRO AWANI