Seorang lelaki yang dipercayai menolak isterinya ke dalam gaung di Kilometer 31.2 Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli pada 27 Julai lalu, ditahan reman selama seminggu.
Perintah reman bermula hari ini sehingga Isnin depan itu dibenarkan Majistret Savinder Singh Jugindar Singh, ketika suspek berusia 39 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Gerik di sini hari ini.
Reman selama tujuh hari ini dibenarkan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, kerana cubaan membunuh.
Sebelum ini, suspek ditahan reman oleh polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, Kedah, selama enam hari atas kesalahan mendatangkan cedera mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Suspek tiba di mahkamah pada jam 8.50 pagi dan dibawa keluar 50 minit kemudian.
Lelaki ini didakwa cuba membunuh isterinya yang berusia 32 tahun dengan menolaknya ke dalam gaung.
Namun, mangsa berjaya merangkak naik ke jalan raya dan ditemui oleh orang awam.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, menyatakan bahawa suspek mempunyai beberapa rekod lampau mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Kesalahan Kecil, dan Kanun Keseksaan. – JURNAL
Sumber: Berita Harian