Seorang lelaki yang meninggal dunia semasa sedang menunggu anaknya pulang dari sebuah sekolah di Bachok, semalam diserang penyakit jantung dan bukannya strok haba sebagaimana tular di aplikasi WhatsApp.
Isteri kepada lelaki berkenaan Saripah Mansor, 39, berkata, laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas jenazah arwah suami Mohd. Kamarulzaman Yusoff, 45, mendapati dia meninggal dunia akibat serangan jantung.
Menurutnya, jenazah suami selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pok Joh, Tumpat pada pukul 1 pagi tadi.
“Semasa kejadian, saya ada di samping suami untuk mengambil anak pulang dari sekolah. Ketika itu kami berada di dalam kereta dan menunggu giliran kerana jalan masuk ke sekolah tengah sesak.
“Secara tiba-tiba suami mengalami kekejangan dan saya yang duduk di sebelahnya terus keluar mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui pemberita.
Saripah memberitahu, dia kemudian terus mendapatkan bantuan daripada kakak ipar yang secara kebetulan sedang menunggu anaknya dari sekolah.
Katanya, orang ramai yang berada di lokasi turut membantu membawa suami ke kawasan surau sekolah bagi mengelakkan bahang panas sementara menunggu ambulans untuk memberikan rawatan.
“Bagaimanapun, suami meninggal dunia di dalam surau sekolah semasa menunggu rawatan. Saya reda dengan segala ketentuan Allah.
“Sebelum kejadian arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan kecuali bercerita soal insurans.
“Arwah cakap dekat saya, dia ada mengambil insurans untuk dirinya dan juga saya. Pesannya… kalau dia pergi dulu, duit insurans itu boleh guna untuk bayar semua hutang dan baki selebihnya buat belanja saya dan anak-anak.
“Saya tidak menyangka perkara merupakan pesanan terakhir arwah sebelum meninggal dunia,” ujarnya.
Media semalam melaporkan, seorang lelaki maut dipercayai terkena serangan strok haba semasa sedang menunggu anaknya pulang dari sebuah sekolah.
Mangsa dilaporkan mengalami kekejangan sebelum rebah dan meninggal dunia di lokasi.- JURNAL
Sumber: UTUSAN