Suspek lelaki yang memukul kepala seorang wanita berdekatan pusat peranginan Lata Iskandar dekat Tapah, petang semalam, akan direman hari ini.
Suspek berusia 29 tahun yang bekerja sebagai penyelia sebuah kilang itu ditahan di Serdang, Selangor, petang semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata suspek akan dibawa ke Mahkamah Tapah, pagi ini, untuk mendapatkan perintah reman.
Beliau berkata, lelaki itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, selepas mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Saujana Utama, Sungai Buloh.
“Siasatan lanjut dijalankan polis mendapati kejadian berlaku pada jam 5.33 petang semalam, ketika mangsa berusia 24 tahun bersama adik lelakinya yang berusia 17 tahun dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Tapah.
“Mangsa dikatakan cuba memotong kereta suspek tetapi gagal, sebelum lelaki itu menunjukkan isyarat lucah dan memperlahankan kenderaan sehingga jalan menjadi sesak,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Terdahulu tular satu video berdurasi 59 saat yang memaparkan seorang lelaki berbaju merah keluar daripada kereta dan mengetuk cermin kenderaan di belakangnya sebelum memarahi pemandu wanita serta memukul kepalanya. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE