Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, sah tidak akan menyertai Terbuka India 2025 dan Masters Indonesia 2025.
Berdasarkan senarai penyertaan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), nama pemain nombor enam dunia itu tiada dalam kedua-dua kejohanan tersebut.
Terbuka India dijadualkan berlangsung dari 14 hingga 19 Januari, manakala Masters Indonesia pada 21 hingga 26 Januari.
Keputusan ini menyusul selepas Zii Jia sebelum ini menarik diri daripada Terbuka Malaysia 2025 yang sedang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Menurut kenyataan Team LZJ di media sosial, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu masih dalam proses pemulihan kecederaan ligamen buku lali kanan yang dialami ketika Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, bulan lalu.
Dengan rehat yang lebih panjang, peminat mengharapkan Zii Jia dapat kembali ke gelanggang dengan aksi terbaiknya. – JURNAL
Sumber: The Star