Pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia memohon maaf kepada peminatnya selepas gagal mempamerkan aksi terbaik ketika tewas kepada pemain Perancis, Alex Lanier dalam Kejohanan Badminton Terbuka Daihatsu Jepun 2024.
Kekalahan pada perlawanan yang berlangsung Selasa lalu ini berlaku ketika Zii Jia masih bergelut dengan keadaan fizikalnya yang lemah setelah baru pulang dari Sukan Olimpik Paris 2024.
“Saya berasa lemah secara fizikal sejak pulang dari Olimpik, tetapi ponteng kejohanan bukan dalam rancangan saya selagi ia tidak menjejaskan kesihatan saya,” katanya menerusi Instagram Story miliknya.
Lee Zii Jia menegaskan bahawa beliau telah berusaha sebaik mungkin sepanjang perlawanan.
Namun, kekangan fizikal menghalangnya daripada mencapai prestasi yang diharapkan.
Lee Zii Jia yang meraih pingat gangsa di Olimpik Paris 2024, kini berharap untuk mendapatkan rehat dan pemulihan yang mencukupi bagi memastikan beliau mampu bangkit di kejohanan akan datang.
“Saya mengharapkan rehat dan pemulihan yang baik untuk kejohanan seterusnya,” tambahnya lagi. – JURNAL