Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia memberi bayangan yang dirinya tidak mempunyai perancangan menyertai terlalu banyak kejohanan pada musim ini dalam usaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Zii Jia yang mempunyai tempoh sehingga April ini untuk memburu mata kelayakan bakal memulakan kempen 2024 di Terbuka Malaysia bermula hari ini dan perancangan rapi mengenai penyertaan kejohanan sudah dibincangkan bersama pasukannya, Team Lee Zii Jia (Team LZJ).
Pemain ranking ke-11 dunia itu berkata: “Jika tidak ada perkara yang serius berlaku, saya tidak beraksi banyak sangat kejohanan. Ia bergantung kepada situasi semasa dan prestasi diri saya.
“Kalau sudah layak lebih awal (Olimpik Paris), mungkin saya akan kurangkan untuk menyertai kejohanan. Saya rasa setakat ini, saya akan beraksi kebanyakan kejohanan berstatus 300 atau 500 tetapi tidak akan bermain di (Terbuka) Thailand. Selepas itu, saya bermain kebanyakannya di Eropah.
“Sekiranya beraksi dalam banyak kejohanan, tetapi tidak ada keputusan baik… tak guna juga kerana kelayakan Olimpik hanya mengira pencapaian terbaik dalam 10 kejohanan disertai.”
Pemain China, Lu Guang Zu dijadual menjadi lawan sulung Zii Jia di pusingan pertama Terbuka Malaysia nanti, dengan pemain dari Kedah itu pernah meraih empat kemenangan daripada lima pertemuan sebelum ini.
“Bagi saya adalah untuk memberikan fokus 100 peratus kepada persediaan. Kalau pemain lain mempunyai masa sebulan untuk melakukan persediaan, saya juga melalui perkara sama.
“Saya tidak melihat kepada undian, cuma saya tahu yang lawan di pusingan pertama sahaja. Saya mahu fokus kepada permainan saya sahaja,” katanya yang pada edisi tahun lalu kecundang seawal pusingan pertama. – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN