Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menafikan dirinya seorang ahli politik yang suka mencari populariti, berbanding memberikan kualiti.
Beliau ketika menepis laporan daripada sebuah akhbar memberitahu, lebih baik masuk program Gegar Vaganza seandainya betul dakwaan tersebut.
“Kalau ahli politik ambil tindakan dan keputusan semata-mata untuk meraih populariti, lebih baik saya masuk Gegar Vaganza!” jawabnya.
Rafizi memberikan jawapan seperti itu selepas membaca artikel yang mendapati dirinya mendapat skor rendah hasil undian rakyat kerana tidak berpuas hati dengan hasil kerjanya setakat ini.
“Saya faham bahawa perkara yang betul-betul diperhatikan rakyat setiap hari adalah soal harga barang.
“Perkara tersebut bukan boleh diselesaikan dalam tempoh satu atau dua minggu. Kerjaya politik saya memang pada awalnya ambil keputusan tidak popular,” akuinya.
Dalam pada itu Rafizi turut menjelaskan kerajaan ketika ini tidak boleh membuat sebarang keputusan terburu-buru kerana hutang negara sudah mencapai RM1.5 trilion.
“Sama dalam soal perancangan ekonomi, kita ada masalah struktur yang besar.
“Kita tidak ada wang seperti sebelum ini, hutang kita RM1.5 trilion, jadi tidak boleh harapkan kerajaan ambil wang dan subsidi untuk menurunkan harga barang,” jelas beliau.
Rafizi melihat, jika kerajaan melakukan perkara itu, ia hanya kan menambah masalah. Ketika ini kerajaan sedang mengatur segala strategi yang terbaik dan melibatkan orang ramai kerana mengubah sikap akan mengambil masa. – JURNAL
Sumber: UTUSAN