Seramai 1,395 orang daripada 447 keluarga kini terpaksa ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah sehingga jam 9.30 pagi tadi, berikutan peningkatan mendadak jumlah mangsa banjir.
Angka ini meningkat berbanding 470 orang daripada 164 keluarga yang dilaporkan pada jam 12 tengah hari semalam.
Menurut data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tiga daerah utama yang terjejas ialah Pokok Sena, Kota Setar, dan Kubang Pasu.
Pokok Sena mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 737 orang daripada 233 keluarga, diikuti oleh Kota Setar yang mencatatkan 374 orang daripada 116 keluarga, manakala di Kubang Pasu pula seramai 284 orang daripada 98 keluarga terjejas.
Pada masa yang sama, lima sungai di negeri itu masih merekodkan paras bahaya. Sungai-sungai berkenaan adalah Sungai Bata dan Sungai Padang Terap di Kubang Pasu, Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Jambatan TAR di Kota Setar serta Sungai Titi Kerbau di Pendang.
Keadaan ini menimbulkan kebimbangan berlakunya peningkatan jumlah mangsa banjir sekiranya cuaca buruk berterusan. – JURNAL
Sumber: Kosmo!